PENYAKIT BATU KARANG HEMPEDU

Penyakit batu karang hempedu adalah masalah yang sering dihadapi penduduk Malaysia. Ia dikenali sebagai Cholelithiasis. Pundi hempedu berfungsi untuk menyimpan cecair hempedu yang dihasilkan oleh hati.

Apabila seseorang itu makan, ia akan menghasilkan satu mekanisma yang akhirnya akan menyebabkan pundi hempedu mengecut dan menolak hempedu yang disimpannya ke dalam usus. Salah satu fungsi cecair hempedu adalah untuk memudahkan pencernaan lemak dalam usus.

Pembesaran pundi hempedu disebabkan saiz batu yang semakin bertambah akan menyebabkan rasa sakit dibahagian perut. Bahkan kehadiran batu dalam pundi hempedu juga meningkatkan risiko untuk berlakunya jangkitan kuman ataupun keradangan pada pundi hempedu tersebut. Keradangan pada pundi hempedu ini dinamakan sebagai Acute Cholecystitis.

Jika batu tersebut tersekat dalam saluran hempedu menuju ke bahagian usus, ia boleh menyebabkan hempedu tidak boleh dikeluarkan ke dalam usus. Ini menyebabkan proses penyingkiran bilirubin pun terganggu. Perkara inilah yang akan menyebabkan mata seseorang itu kelihatan kuning disebabkan bacaan bilirubin yang meningkat dalam badan.

TANDA DAN GEJALA

Kebanyakan batu karang hempedu tidak menyebabkan tidak menunjukkan tanda atau gejala. Ia dikesan semasa pemeriksaan rutin dijalankan. Sebahagian kecil batu karang hempedu boleh menyebabkan gejala seperti rasa sakit yang berpanjangan selama beberapa minit di bahagian kanan atas abdomen. Rasa sakit ini disebut ‘gallstone colic’. Gejala ini biasanya disertai dengan loya dan muntah.

Ia berkurang dengan sendirinya tetapi boleh berlaku semula sekali-sekala. Keradangan pundi hempedu atau jangkitan hempedu statik dipanggil cholecystitis akut dan ia boleh menyebabkan demam.

Batu karang hempedu yang menghalang aliran hempedu dari hati ke duodenum boleh menyebabkan hati dipenuhi dengan hempedu yang berlebihan. Hempedu yang berlebihan akan melimpah ke peredaran sistemik lalu menyebabkan jaundis atau mata, kulit dan membran mukus menjadi kekuningan.

Bagi kes yang teruk pemendapan bilirubin yang berlebihan dalam kulit akan menyebabkan gatal. Gejala lain termasuklah sakit perut, loya dan muntah. Jangkitan hempedu statik mempunyai gejala lain seperti demam dan disebut sebagai Ascending Cholangitis. Jika tidak dirawat, boleh membawa maut.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PEMBENTUKAN BATU KARANG HEMPEDU :

1. Jantina. Wanita berisiko dua kali ganda daripada lelaki. Ini adalah disebabkan oleh jumlah hormon estrogen yang berlebihan dalam kalangan wanita. Keadaan tertentu seperti kehamilan, terapi penggantian hormon dan pil perancang keluarga mendedahkan mereka kepada estrogen yang berlebihan. Estrogen yang berlebihan meningkatkan tahap kolesterol dalam hempedu, seterusnya mengganggu keseimbangan cecair hempedu. Estrogen yang berlebihan juga mengurangkan pengecutan pundi hempedu menyebabkan stasis hempedu dan pembentukan batu karang hempedu.

2. Berat badan. Obesiti merupakan satu lagi faktor risiko kerana paras kolesterol yang tinggi dalam darah.

3. Diet. Pemakanan yang tinggi lemak dan kolesterol merupakan satu lagi faktor risiko.

4. Umur. Individu berumur 60 tahun dan ke atas mempunyai insiden batu karang hempedu yang lebih tinggi.

5. Diabetes. Penghidap Diabetes mempunyai jumlah asid lemak yang lebih tinggi iaitu trigliserida dan kolesterol darah.

6. Ubat kolesterol. Ubat yang mengurangkan tahap kolesterol dalam darah juga meningkatkan jumlah kolesterol yang dirembeskan ke dalam hempedu.

RAWATAN

Rawatan masalah ini bergantung kepada pesakit sama ada mempunyai simptom ataupun tidak. Pesakit yang mempunyai batu dalam hempedu tetapi tidak mempunyai sebarang simptom selalunya tidak akan menjalani pembedahan kecuali atas beberapa sebab.

Jika pesakit sudah mempunyai simptom seperti yang dikatakan di atas pembedahan perlu dilakukan untuk membuang pundi hempedu tersebut. Prosedur ini dikenali sebagai cholecystectomy.

Jika pesakit sedang menghadapi keradangan pundi hempedu(Acute cholecystitis), pesakit akan diberi antibiotik terlebih dahulu untuk menghapuskan kuman dan supaya keradangan tersebut hilang terlebih dahulu. Kemudian barulah, pembedahan dilakukan. Jika masalah keradangan tersebut masih berterusan, pembedahan kecemasan akan dilakukan untuk membuang pundi hempedu tersebut.

Terdapat beberapa prosedur lain yang boleh dilakukan untuk rawatan pesakit. Tetapi selalunya prosedur tersebut akan dilakukan jika pesakit mengalami masalah yang tidak memungkinkan pembedahan cholecystectomy dilakukan.